| Ibn Bajjah | 
|  
 | 
|  | 
| Sepanjang pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai  Andalusia, telah lahir ramai cendi-kiawan dan sarjana dalam pelbagai  bidang. Sebahagian mereka ialah ahli sains, matematik, astronomi,  perubatan, falsafah, sastera, dan sebagainya. Salah seorang mereka ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh  atau lebih terkenal sebagai Ibn Bajjah. Beliau dilahirkan di Saragossa  pada tahun 1082 Masihi (M). Ibn Bajjah merupakan seorang  sasterawan dan ahli bahasa yang unggul. Dalam hal ini, beliau pernah  menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin oleh Abu  Bakr Ibrahim Ibn Tafalwit. Selain itu, Ibn Bajjah juga merupakan  seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Sungguhpun  begitu beliau juga seorang yang hafiz al-Quran. Dalam masa yang sama, Ibn Bajjah amat terkenal dalam bidang  perubatan dan merupakan salah seorang doktor teragung yang pernah  dilahirkan di Andalusia. Walau bagaimanapun, kehebatannya turut terserlah dalam bidang  politik sehingga beliau dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim  berkuasa di Saragossa. Lebih menakjubkan lagi apabila beliau dapat  menguasai ilmu matematik, fizik, dan falak. Pada kesempatan itu beliau  banyak menulis buku yang berkaitan dengan ilmu logik. Kemampuannya menguasai berbagai-bagai ilmu itu menjadikannya  seorang sarjana yang teragung bahkan tiada bandingannya di Andalusia  dan barangkali di dunia Islam. Jadi, sumbangannya dalam bidang  keilmuan begitu besar sekali. Dalam bidang falsafah umpamanya, Ibn Bajjah boleh diletakkan setaraf  dengan al-Farabi dan Aristotle. Dalam bidang ini beliau telah  mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa  manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu  pengetahuan dan pembangunan potensi manusia. Menurut Ibnu Bajjah, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan  berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan  oleh Iman al-Ghazali. Dengan ilmu dan amalan berfikir, segala  keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin  serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah  yang bersarang dalam hati dan diri manusia. Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan  perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama  dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Kalau masyarakat itu  tidak baik maka seseorang itu harus menyepi dan menyendiri. Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi oleh idea-idea  al-Farabi. Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam "Risalah  al-Wida" dan kitab "Tadbir al-Muttawwahid" yang secara umumnya  merupakan pembelaan kepada karya-karya al-Farabi dan Ibn Sina  kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyepi dan  menyendiri. Namun, ada sesetengah pengkaji mengatakan bahawa kitab tersebut  sama dengan buku "al-Madinah al'Fadhilah" yang ditulis oleh al-Farabi.  Dalam buku itu, al-Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai  politik dan falsafah. Al-Farabi semasa membicarakan tentang politik  telah mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan yang diketuai  oleh ahli falsafah diwujudkan. Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah  kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka  hampir sependapat bahawa akal dan wahyu merupakan satu hakikat  yang padu. Sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya  hanya akan melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang pincang. Oleh sebab itu, akal dan wahyu harus menjadi dasar dan asas  pembinaan sebuah negara serta masyarakat yang bahagia. Ibn Bajjah  berpendapat bahawa akal boleh menyebabkan manusia mengenali apa  sahaja kewujudan sama ada benda atau Tuhan. Akal boleh mengenali  dengan sendiri perkara-perkara tersebut tanpa dipengaruhi oleh  unsur-unsur kerohanian melalui amalan tasawuf. Selain itu, Ibn Bajjah juga telah menulis sebuah buku yang berjudul  "aI-Nafs" yang membicarakan persoalan yang berkaitan dengan jiwa.  Pembicaraan itu banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah  Yunani. Oleh sebab itulah, Ibn Bajjah banyak membuat ulasan terhadap  karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi, dan al-Razi.  Minatnya dalam soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan  metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau turut  mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya. Sewaktu membicarakan ilmu logik, Ibn Bajjah berpendapat bahawa  sesuatu yang dianggap ada itu sama ada benar-benar ada atau tidak  ada bergantung pada sama ada diyakini ada atau hanyalah suatu  kemungkinan. Justeru itu, apa yang diyakini itulah sebenarnya satu  kebenaran dan sesuatu kemungkinan itu boleh jadi mungkin benar dan  tidak benar. Sebenarnya, banyak perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan  menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah belajar ilmu-ilmu lain untuk  membantunya memahaminya hal-hal berkaitan dengan metafizik. Ilmu sains dan fizik misalnya digunakan oleh Ibn Bajjah untuk  menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibn Bajjah, benda  tidak mungkin wujud tanpa rupa tetapi rupa tanpa benda mungkin  wujud. Oleh sebab itu, kita boleh menggambarkan sesuatu dalam  bentuk dan rupa yang berbeza-beza. Kemahiran Ibn Bajjah dalam bidang matematik dan fizik sememangnya  diperakui tetapi beliau tidak cuba menyelesaikan permasalahan yang  timbul. Sebaliknya ilmu itu digunakan untuk menguatkan hujah dan  pandangannya mengenai falsafah serta persoalan metafizik. Masih banyak lagi pemikiran falsafah Ibn Bajjah yang tidak diketahui  kerana sebahagian besar karya tulisannya telah musnah. Bahan yang  tinggal dan sampai kepada kita hanya merupakan sisa-sisa dokumen  yang berselerakan di beberapa perpustakaan di Eropah. Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya.  Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia  sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana Barat berbuat demikian.  Begitu juga konsep masyarakat madani telah dibicarakan dalam  tulisannya secara tidak langsung. Sesungguhnya Ibn Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat.  Sesuai dengan itu beliau telah diberikan kedudukan dan penghormatan  yang tinggi oleh orang Murabbitin. Tetapi perasaan dengki dan cemburu telah menyebabkan beliau  diracuni dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1138 (M) dalam usia  yang masih  muda. Biarpun umur Ibn Bajjah tidak panjang tetapi  sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh  kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia. Sumber Maklumat daripada  http://alhakelantan.tripod.com/tokoh  | 
|  | 
Pages
Kolam Ikan PaksuWan
Sapa-sapa yang nak bagi ikan dalam kolam ikan PaksuWan di atas tu makan sila klik kat kolam tu nnti akan muncul makanan ikan-ikan tu warna kuning... kalau tak bagi kesian kat ikan-ikan sebab dah lama PaksuWan tak bagi ikan-ikan tu  makan huhu...
Saturday, January 22, 2011
Ibn Bajjah
Labels:
Tokoh-tokoh Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 
No comments:
Post a Comment