Al-Farabi                                                                                                                                                                 

Digelar Aristotle kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama  sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al  Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak  dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera  yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat  pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah  pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.
Selepas  beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan  perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di  istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini  menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi  terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat  sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih  menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan  duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga  beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).
Walaupun  Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli  sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada  zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.
Selain  itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang  dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya.  Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah  mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan  Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu  pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan  sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung  lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini  mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.
Dalam  membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu  adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk  memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang  pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu  perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat,  stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle  dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai  kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang  paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang  terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa  Arab.
Meskipun  pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi  beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam  kehidupan manusia.
Menurut  Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya  daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya  untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa  sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk  diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli  falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya  dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang  saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar  diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.
Pandangan  falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli  falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau  juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu  segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang  tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan  Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran  Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang  tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di  samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang  mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu  merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku  antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran,  idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung  dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai  ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah  disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".
Terdapat  dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku  itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama  Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang  diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi  juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan  teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai  sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.
Sebagai  seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan  kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan.  Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi  pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap  perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah  satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah  lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan  jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya  menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Sesungguhnya  Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak  daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan  manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan  negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi  mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku  pada hari ini.
Sumber Maklumat daripada http://alhakelantan.tripod.com/tokoh
Sumber Maklumat daripada http://alhakelantan.tripod.com/tokoh

 
No comments:
Post a Comment