| Ibn Sina | 
|  
 Ibnu  Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi.  Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan  sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti  geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan. Walaupun  Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi  beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang  doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut. Ibnu  Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera  Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.  Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya  sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama). Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib  telah diterbitkan diRom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke  dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka  masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah  bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan  rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan  sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para  pelajar perubatan. Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart  yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah  menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara  untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas  kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu  lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa),  syair, prosa, dan agama. Penguasaannya  dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh  sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi  berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya. Di samping menjadi zenith  dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi  dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang  penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan  risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif. Perkara  yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan  seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku  berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran  falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi  yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan  perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan  Yunani khususnya Hippocrates. Perubatan  Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah,  lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black  bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan  campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus  berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu  maka seseorang akan mendapat penyakit. Setiap  individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan.  Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu  landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca  penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori  kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya. Ibnu  Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur  iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan  sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada  unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud  ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi,  selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga  memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan  dan proses penyembuhan. Pengaruh  pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina  mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina  berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan.  Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani  seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi  Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu  berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali  telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan  daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani. Sebenarnya,  Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah,  Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib  al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan  dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud  (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada  permulaan. Tetapi  tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud  sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak  menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan  segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya. Pemikiran  falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab  "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus  langit dan jirim atasan. Pemikiran  Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan  sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah  menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada  Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran  Ibnu Sina dan al-Farabi. Antara  percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan  terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap  penafian Ibnu  Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka. Walau  apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam  perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau  boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu  falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja  unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah  mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi. Sumber maklumat daripada http://alhakelantan.tripod.com/tokoh  | 
|  | 
Pages
Kolam Ikan PaksuWan
Sapa-sapa yang nak bagi ikan dalam kolam ikan PaksuWan di atas tu makan sila klik kat kolam tu nnti akan muncul makanan ikan-ikan tu warna kuning... kalau tak bagi kesian kat ikan-ikan sebab dah lama PaksuWan tak bagi ikan-ikan tu  makan huhu...
Saturday, January 22, 2011
Ibnu Sina
Labels:
Tokoh-tokoh Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 
No comments:
Post a Comment